Mizwalah TaHa atau Jam Matahari di Kompleks Persidangan dan Hotel Tabung Haji di Sepang berbentuk logo Lembaga Tabung Haji, iaitu huruf Arab ت’Ta’ dan ح ‘Ha’. Pergerakkan matahari diukur daripada posisi bayang gnomon, berbentuk huruf Ha, di atas badan jam berbentuk Ta. Ia boleh mengukur masa dan tarikh daripada pergerakkan matahari.
Arca ini, bukan sahaja mempunyai nilai estetika dan seni, malah akan dapat menunjukkan pelbagai pengukuran dan pengkiraan masa.
Jam matahari ini adalah peralatan yang paling mesra alam; ianya dikuasai Suria, tidak mengeluarkan apa apa bahan pencemaran atau buangan dan hampir tidak memerlukan penyelengaraan.
Jam matahari boleh berfungsi setiap masa selagi matahari bersinar.
Apabila seseorang memerhati pergerakkan bayang di atas jam matahari, ia akan membawanya untuk serentak dengan pergerakkan Bumi mengelilingi Matahari dan sekaligus, ia akan membawanya seirama dengan peredaran dan irama azali yang difahami oleh nenek moyang kita.
Masa yang ditunjukkan oleh jam matahari adalah jenis ‘analog’ jika dibandingkan dengan masa ‘digital’ yang menyebabkan manusia moden tersibuk dan dikuasinya. Semasa berinteraksi dengan jam matahari itu, seseorang akan mula merasakan penurunan kelajuan kehidupannya dan dapat merasakan dirinya dalam keadaan bertafakkur.