Sejarah
‘Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? – Bagaimana Ia memanjangkan bayang-bayang! Jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan Matahari sebagai pembimbing bayang itu.’ ( Surah Al Furqan:45).
Ayat Al Quran ini memberikan isyarat jelas mengenai pergerakkan bayang oleh Matahari dan prinsip atau Sunnatullah ini digunakan oleh manusia untuk menciptakan alat yang mengukur pergerakkan Matahari dengan menggunakan bayang untuk mengukur perjalanan masa. Manusia dizaman dahulu semestinya telah melihat bagaimana bayang sesuatu benda tegak akan memanjang dan memendek mengikut posisi Matahari diatas langit.
Jam Suria yang mungkin tertua dalam dunia Islam adalah tongkat istiwa di Masjid Janad di Yemen, yang masih wujud, yang dinamakan tongkat (‘asa) Mu’adh ibn Jabal, Govenor yang dilantik oleh Rasullulah ke Yaman. Khalifah Umar Ibn Abdul Aziz (tahun 720M) telah diberitakan juga sebagai seorang yang telah mendirikan dan belajar menggunakan jam suria (nasaba sa’at) untuk perkiraan waktu dan waktu solat.
Sepanjang sejarah falak Islam, kita dapati ahli falak Islam telah menanam jasa dengan kajian dan penulisan mereka mengenai tiori dan pembuatan jam suria. Ahli falak saperti Al Khawarizmi, Thabit Ibn Qurra, Habash al Hasib, Ibn Al Adami dan lain lain telah mengeluarkan jadual pembuatan jam suria dalam zij zij mereka yang kemudian digunakan di Europa beberapa abad kemudian. Jam Matahari pula didapati di masjid, madrassah, taman dan bangunan di seluruh dunia Islam daripada Afghanistan hingga ke Andalusia.
Al Muwaqqit terkenal di masjid Damsyik Ala Al-Din Abu’l-Hasan Ali Ibn Ibrahim Ibn al-Shatir (1371M) telah merekakan dan membuat satu jam suria jenis mengufuk (horizontal) yang dipasangkan di menara masjid itu untuk mengukur pelbagai jenis waktu. Ini adalah jam matahari yang pertama di mana peranti gnomonnya selari dengan paksi polar, iaitu tercondong 33½°daripada ufuk, iaitu nilai untuk latitude Damsyik.
Masjid masjid lama di Malaysia juga telah menggunakan jam matahari untuk perkiraan waktu dan penentuan waktu solat. Ada beberapa masjid di Melaka dan Terengganu yang mempunyai jam matahari. Suatu daripada masjid dimana Jam mataharinya masih kekal ialah di masjid Serkam Pantai Melaka.
Jam Matahari telah lama digunakan dalam dunia Islam sebagai alat pengukur masa yang sekaligus menjadikan alat itu penting dalam aspek keagamaan, sains dan kebudayaan. Jam Suria ada dalam pelbagai saiz dan bentuk yang hanya tertakluk kepada kesenian, kepakaran dan kemahiran pembuatnya.
Didapati kini, di Turki, ada usaha untuk menghidupkan tradisi jam matahari dengan mengenalkan kembali jam matahari di taman taman dan laman masjid masjid.